Rio de Janeiro: Penyerang lincah, Ronaldinho diberi peluang kedua oleh Brazil ketika Luiz Felipe Scolari menamakan skuad pertama semalam selepas kembali menjadi jurulatih pasukan kebangsaan buat kali kedua.
Scolari yang membimbing Brazil merangkul kejuaraan dunia kelima pada 2002, dilantik semula November lalu untuk mengemudi pasukan merealisasi misi memenangi kejuaraan keenam di laman sendiri pada 2014 turut memanggil semula penjaga gol, Julio Cesar.
Penampilan terakhir Ronaldinho dan Julio Cesar, penjaga gol utama Brazil dari 2007 hingga 2011 ketika menentang Bosnia pada Februari tahun lalu.
“Saya mahu apa yang setiap orang inginkan, mereka bermain bola sepak dengan kemampuan sebenar,” kata pengendali yang dikenali sebagai Big Phil (Felipao) apabila ditanya apa yang dijangkakannya daripada Ronaldinho dan penyerang muda, Neymar.
“Tidak ramai boleh beraksi lebih baik daripada mereka. Saya juga mahu sikap yang baik. Saya mahu mereka bertanggungjawab tidak kira berapa usia mereka.” Ronaldinho, 32, keluar masuk skuad Brazil sejak beberapa tahun lalu dan terlepas aksi Piala Dunia 2010 susulan kemerosotan prestasinya didakwa akibat gaya hidup yang suka berpoya-poya.
Dia memuncak bersama Barcelona, apabila diundi Pemain Terbaik FIFA 2004 dan 2005, menghabiskan tiga musim kurang berjaya di AC Milan sebelum menyertai Flamengo pada permulaan 2011.
Dia meninggalkan kelab Rio de Janeiro itu tahun lalu sebelum mendapat nafas baru bersama Atletico Mineiro.
Scolari menegaskan, beliau hanya puas hati andai meraih gelaran keenam tahun depan dan mempunyai masa hampir 18 bulan untuk mempersiapkan pasukan dengan hanya satu kejohanan sebagai persediaan iaitu Piala Konfederasi yang dianjur Brazil, Jun ini.
Di sebalik berada di ranking terburuk dunia, tangga ke-18, Scolari yakin pasukannya mampu merangkul kejayaan. - Reuters

0 comments:
Post a Comment