MADRID: Kapten Real Madrid, Iker Casillas mengaku pemain tidak gembira selepas ketinggalan 16 mata berbanding pendahulu La Liga, Barcelona namun menafikan tekanan di bilik persalinan semakin memuncak dan bertekad merampas kembali tempatnya selepas digugurkan ke bangku pemain simpanan bulan lalu.
Casillas cuba menenangkan spekulasi mengenai perbalahan dalam kelab selepas jurulatih Jose Mourinho mengetepikannya daripada kesebelasan utama ketika menentang Malaga di La Roselada 29 Disember lalu yang menyaksikan Real Madrid tumpas 2-3.
Mourinho menegaskan keputusan diambil hanyalah atas dasar teknikal semata-mata.
Ketika ditanya mengenai tekanan yang menyelubungi bilik persalinan, penjaga gol berusia 31 tahun itu berkata: “Bukan tekanan sebenarnya. Kedudukan kami dalam liga tidak begitu baik apabila kami mengalami beberapa kekalahan. Kami mahu menang dan apabila apa yang diharapkan tidak menjadi, kami semua sedih. Kami mahu menang untuk diri kami sendiri dan peminat.” Pada sidang media pertama 2013, kapten Real Madrid itu berkata, dia berharap cuti Krismas memberi ruang buat pasukan kembali pulih dengan menganggap kekalahan kepada Malaga dan keciciran banyak mata menyebabkan mereka ditinggalkan jauh di belakang pendahulu liga.
“Kami tidak boleh berterusan seperti ini dan ini bukan yang kami jangkakan. Kami tidak boleh putus asa. Kami perlu teruskan usaha, berlatih dan meraih keputusan baik. Sekarang sudah 2013 dan kami perlu mengumpul banyak mata meskipun menyedari situasi kami sukar tapi ia tidak mustahil.” Casillas berkata, dia berada pada prestasi terbaik namun akan berusaha keras merampas kembali posisinya dalam skuad bagi perlawanan menentang Real Sociedad, Ahad ini.
“Saya dalam keadaan baik. Saya giat berlatih. Saya perlu terus meningkat setiap hari. Saya bukan mesin dan perlu belajar daripada kesilapan,” katanya.
Kapten Sepanyol itu turut menafikan sudah kehilangan keghairahan untuk meraih gelaran selepas menikmati banyak kejayaan sebelum ini.
“Jika saya tidak mempunyai harapan itu, saya tidak akan duduk di sini. Saya setuju dengan Mourinho kerana kami perlu memiliki cita-cita dan keinginan. “Saya perlu berjuang dan merebut semula tempat dalam skuad. Itu sasaran saya dan saya harap jurulatih senaraikan saya dalam kesebelasan utama Ahad ini.” - AFP

0 comments:
Post a Comment